CATATAN SEJARAH

Rabu, 14 Oktober 2009


















Pada tahun 1887, Batu Bersurat telah dijumpai di kawasan Padang Tara, di tepi Sungai Tara, di Kampong Buloh, Kuala Berang, Hulu Terengganu. Kemudian pada tahun 1902, Batu ini dijumpai pula oleh Saiyed Husin Bin Ghulam Al-Bukhari, seorang ahli perniagaan, di bahagian tangga surau Kampung Buloh yang di jadikan alas membasuh kaki untuk naik ketangga surau tersebut. Batu itu telah patah sebahagian di sebelah atasnya.

Saiyed Husin meminta Penghulu Ali dan orang kampung mengangkat dan meletakkannya di atas rakit untuk dibawa ke Kuala Terengganu. Sampai di Kuala Terengganu, Batu ini dipersembahkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Zainal Abidin III dan kemudian Batu itu diletakkan atas Bukit Puteri. Pada tahun 1922 Timbalan Penasihat Inggeris Di Terengganu Encik H.S. Peterson meminta seorang Jurufoto berbangsa Jepun N. Suzuki mengambil gambar dan dihantarkan kepada C.O. Blegden untuk dibuat pembacaan.

Batu ini bertulis di dalam bahasa Melayu dengan tulisan jawi bertarikh 702 Hijrah. Tulisan pada Batu ini menerangkan Islam sebagai agama rasmi dan hukum-hukum Islam mengenai perbuatan maksiat dan kenyataan-kenyataan palsu berserta dengan hukuman mengikut taraf seseorang.

Pada tahun 1923, Batu ini telah dihantar ke Muzium Singapura dengan jalan pinjaman. Apabila Muzium Negara di Kuala Lumpur siap dibina, batu tersebut telah dibawa ke Kuala Lumpur sebagai pinjaman dari Muzium Raffles Singapura.

Pada 12 Februari 1987, Kerajaan Negeri Terengganu telah menulis surat kepada Jabatan Muzium menyatakan hasrat untuk mendapatkan kembali Batu Bersurat tersebut untuk dijadikan bahan pameran di Muzium Negeri Terengganu. Pada tahun 1991, Jemaah Menteri telah memutuskan supaya Batu Bersurat dipulangkan kepada Kerajaan Negeri Terengganu.

Pada 6 Julai 1991, jam 9.30 pagi suatu upacara penyerahan kembali Batu Bersurat kepada Kerajaan Negeri Terengganu telah berlangsung di Dewan Perjanjian, Tingkat 18, Wisma Darul Iman di antara Kerajaan Persekutuan yang di wakili oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementrian Kebudayaan, Kesenian dan Perlancongan Encil Ismail bin Adam dengan Kerajaan Negeri Terengganu kepada Y.A.B. Dato’ Seri Amar Di Raja Tan Sri Haji Wan Mokhtar bin Ahmad, Menteri Besar Terengganu.

Batu ini merupakan sebuah Peringatan berbahasa Melayu yang terawal yang dijumpai di Semenanjung Malaysia berkaitan dengan pengisytiharaan agama Islam sebagai agama rasmi dan Undang-Undang Islam.



SUMBER DARIPADA PIHAK MUZIUM NEGERI TERENGGANU

0 ulasan:

 
Sejarah Batu Bersurat Terengganu - by Templates para novo blogger - Tested by Blogger Styles